Warisan Sokong PH, BN Bentuk Kerajaan Persekutuan


KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) tampil dengan pendirian menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan parti yang mencapai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sokongan diberikan kepada kedua-dua gabungan parti kerana mereka mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, PH dan BN harus menjadi pilihan pertama untuk membentuk kerajaan. Sokongan ini juga atas alasan bahawa kerajaan Persekutuan baharu nanti akan menyelesaikan sepenuhnya 21 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Warisan berharap yang PH bersama BN akan dapat menjamin rakan kongsi yang akan membolehkan pembentukan kerajaan Persekutuan seterusnya membawa kepada kestabilan politik dan perpaduan kepada negara.

Pada PRU15, Warisan memenangi tiga daripada 52 kerusi Parlimen yang ditandingi iaitu kerusi Parlimen Semporna yang dimenangi oleh Mohd Shafie, Datuk Mohammad Yusof Apdal (Lahad Datu) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.