Warisan Tidak Ada Masalah Dengan Keputusan GRS Tidak Membubarkan DUN Sabah


KOTA KINABALU: Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dijangka kerana gabungan itu mahu terus berkuasa di Sabah dengan meniru politik Sarawak yang ditadbir sepenuhnya oleh parti-parti tempatan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Terrence Siambun berkata sudah pastinya strategi GRS adalah untuk menyokong mana-mana gabungan yang akan mentadbir Putrajaya selepas PRU15 kelak.

“Saya merujuk kepada pengesahan yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa DUN Sabah tidak akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.

“Bezanya disini ialah dalam politik regionalism Sarawak, GPS menggunakan ‘politik keras’ dan tegas dalam hal-hal berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ataupun aset-aset negeri itu manakala GRS pula menggunakan ‘politik lalang’ dengan menyokong dan membiarkan parti-parti Malaya seperti Umno dan Bersatu mendominasi mereka semata-mata untuk pangkat dan jawatan yang tidak seberapa dikala rakyat Sabah terus dihimpit kemiskinan dan kemunduran dari segi sosio-ekonomi, infrastruktur dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terrence berkata jika pemimpin-pemimpin Sabah lemah, mudah dibeli atau dibuli oleh pemimpin-pemimpin dari Malaya, maka tiada sebarang perubahan yang boleh diharapkan oleh rakyat Sabah selepas PRU15 walau apapun gabungan yang akan mentadbir Putrajaya.

“Jika GRS mahu mengekalkan kuasa mereka sehingga 2025, maka saya mohon rakyat Sabah untuk ‘membeli insurans’ dengan membantu Warisan yang semua sudah sedia maklum akan ketegasan dan keberaniannya untuk memenangi kerusi-kerusi Parlimen yang bakal ditandingi kerana hanya dengan
cara ini sahajalah semak dan imbang (check and balance) untuk Sabah dapat dilaksanakan kerana kuasa mutlak mengizinkan rasuah secara mutlak (absolute power corrupt absolutely).

“Suka juga saya katakan di sini bahawa disamping akan memperkukuh dan memperkuatkan lagi jentera pilihanraya untuk mempertahankan 7 kerusi Parlimen yang diwakili oleh Ahli-ahli Parlimen Warisan iaitu Semporna, Penampang, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kalabakan dan Labuan serta merampas kembali kerusi Parlimen Lahad Datu dan Batu Sapi, kita juga telah mengenalpasti 5 kerusi Parlimen Sabah kritikal yang mesti dimenangi oleh Warisan bukan kerana komposisi etnik atau agama penggundi-penggundi di situ tetapi signifikasinya dari segi sejarah, maruah dan sosio-ekonomi untuk Sabah,” katanya.

Menurut Terrence 5 kerusi Parlimen berkenaan adalah Kimanis kerana gas asli Sabah disalur keluar dan dinikmati oleh orang lain, Sipitang kerana Sabah Forest Industries, SFI yang merupakan kebanggaan Sabah dalam industri kayu balak diranapkan ketika pentadbiran Umno, Sandakan kerana daerah ini ialah pusat perdagangan antarabangsa Sabah terawal dan telah membantu membuka negeri ini kepada dunia luar seperti Hong Kong dan China, Keningau kerana Tambunan ialah tempat dimana Bajau/Suluk dan Dusun telah bersepakat dibawah perjuangan Mat Salleh pada 1900 untuk menentang sistem pencukaian yang tidak adil dan Kudat yang merupakan pusat perdagangan dan perniagaan masa hadapan di Sabah.

Namun katanya ini tidak bermakna bahawa kawasan Parlimen Sabah yang lain termasuk Putatan, Ranau dan Libaran tidak penting malah Warisan akan memastikan bahawa jentera pilihanraya parti di semua kawasan Parlimen berada dalam keadaan terbaik.

“Lima kawasan yang saya sebutkan diatas mempunyai kepentingan strategik yang sebenarnya membentuk identiti Sabah dari segi keupayaan, keberanian dan martabat dan ini tidak akan difahami oleh pemimpin-pemimpin GRS yang menggunakan pendekatan ‘politik lalang’ dan menuruti sahaja mana-mana gabungan berkuasa di Putrajaya pada masa ini,” jelas Terrence.

Menurutnya keputusan Umno Sabah untuk bertanding di 13 kerusi Parlimen termasuk kerusi mereka yang kini dimiliki oleh Bersatu manakala bakinya (12 kerusi) pula akan dibahagikan sesama GRS juga memberikan satu gambaran bagaimana negeri Sabah akan terhumban kembali ke era sebelum PRU14 dimana agenda dominasi, pecah dan perintah (divide and rule) dan rasuah yang menjadi penyebab utama Sabah diisytiharkan sebagai negeri termiskin di Malaysia oleh Bank Dunia (World Bank) pada 2010 akan kembali menghantui kita semua.

Terrence menegaskan walaupun akan wujud pertembungan antara UMNO/BN dan GRS di kerusi-kerusi panas pada PRU15 nanti, pembabitan GRS sudah tidak bermakna lagi kerana gabungan ini dilihat lemah ketika berdepan dengan UMNO. Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengumumkan perkara ini seawal bulan Februari lagi.

“Ini jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin Warisan seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Darell Leiking yang dari awal lagi telahpun menyatakan pendirian mereka tidak mahu dibuli ataupun didominasi oleh mana-mana gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH).





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.